Polis akan mohon lanjut reman ibu bapa Zayn Rayyan

Polis akan mohon lanjut reman ibu bapa Zayn Rayyan

Perintah reman pasangan berusia 28 tahun itu yang ditahan di sekitar Puncak Alam pada 31 Mei lalu akan berakhir esok.

Zayn Rayyan
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin tamat esok. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis akan memohon reman ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin disambung bagi membantu siasatan pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, tempoh reman tujuh hari pasangan itu tamat esok.

“Esok kita akan pohon untuk menyambung reman,” katanya menurut Harian Metro.

Ditanya sama ada sudah ada pengakuan, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

Pada 2 Jun lalu, Ketua Polis Negara, Razaruddin Husain dilaporkan berkata, tiada tangkapan baharu selain pasangan berusia 28 tahun itu yang ditahan di sekitar Puncak Alam pada 31 Mei lalu dan polis masih mencari petunjuk lain bagi membantu siasatan.

Semalam, peguam pasangan itu, Fahmi Abd Moin memaklumkan beliau tidak dibenarkan menemui anak guamnya yang dalam tahanan reman, walaupun selepas memohon jasa baik polis untuk berbuat demikian.

Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023 di Damansara Damai, sebelum ditemui meninggal dunia dekat aliran anak sungai kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman keesokannya.

Hasil bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa akibat mempertahankan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.