
Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairudin, berkata mangsa berusia 30 tahun mula menyertai pelaburan pakej emas murah ‘Sarah Gold Enterprise’, pada Ogos 2021 setelah diperkenalkan kakak iparnya.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya mendaftar sebagai ejen dan membuat pembayaran ke akaun syarikat berkenaan menerusi transaksi dalam talian menggunakan nama kakak iparnya.
“Pada mulanya urus niaga berjalan dengan baik. Bagaimanapun, bermula September tahun lepas, mangsa tidak lagi menerima emas yang dibeli pelanggan dan bayaran keuntungan untuk diagihkan kepada ejen-ejen di bawahnya.
“Hasil perbincangan, pengasas Sarah Gold Enterprise bersetuju untuk membuat bayaran balik modal jual beli emas secara ansuran dan membuat perjanjian. Jumlah kerugian keseluruhan mangsa berjumlah RM127,991,” katanya dalam kenyataan.
Khairi berkata, mangsa bagaimanapun bertindak membuat laporan polis selepas hanya menerima bayaran RM2,500 untuk diagihkan kepada ejen-ejen sehingga 31 Dis tahun lalu.
Beliau berkata, polis sedang giat memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berdekatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, Khairi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan skim pelaburan yang menawarkan keuntungan tinggi dalam masa singkat.