
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata pihaknya juga akan menahan tiga lagi suspek yang disyaki terbabit dalam sindiket berkenaan yang mengakibatkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion sejak 10 tahun lalu.
“Kita akan tahan tiga lagi suspek … ada seorang warga Singapura, jika individu itu berada di negara terbabit, kita akan dapatkan kerjasama mereka (polis Singapura), setakat ini tidak ada keperluan melibatkan Interpol,” katanya lapor Bernama.
Azam mendedahkan antara modus operandi sindiket berkenaan ialah mengikrarkan barangan di dalam kontena sebagai barangan perubatan seperti kerusi roda, namun sebenarnya mengandungi daging babi yang diseludup.
Ditanya sama ada insiden kebakaran 14 kontena di Pelabuhan Barat Pulau Indah semalam ada kena-mengena dengan sindiket itu, Azam berkata setakat ini beliau belum menerima maklumat sama ada ia berkaitan dengan siasatan kes berkenaan.
SPRM dan kastam dalam operasi pada Rabu lalu menahan 19 buah kontena mengandungi pelbagai barangan import dengan lima daripadanya mengandungi pelbagai jenis barangan bercukai termasuk lampu LED, lampu solar dan tin daging babi diproses.
Semua kontena tersebut diisytiharkan sebagai barangan import termasuk kerusi roda, tekstil dan jamban duduk bagi mengelakkan cukai.
Dalam operasi berkenaan, SPRM juga menahan tujuh individu terdiri dua wanita dan lima lelaki berusia sekitar 30-an hingga 50-an di sekitar Pelabuhan Klang kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket terbabit.