
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata beliau bersetuju dengan kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam temu bual khas dengan FMT yang PAS tidak boleh memerintah sendiri.
Sehubungan itu, parti dipimpin Hadi Awang berkenaan perlu mencari rakan kerjasama meraih kemenangan di lebih banyak kerusi Melayu selain Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN) dengan alternatif terbaik adalah Umno.
“PAS dilihat masih mengharapkan Umno untuk bersamanya dan Bersatu dalam merealisasikan cita-cita membentuk kerajaan.
“Pengundi Cina dan India sokong PKR, DAP dan Amanah, mereka juga mula selesa dengan kerjasama (Pakatan Harapan) bersama Umno,” katanya kepada FMT sambil menjelaskan PAS juga sukar meraih undi komuniti Sabah serta Sarawak.
“Mereka sukar menerima dasar PAS, lebih-lebih lagi Hadi pernah buat komen jelik terhadap pengundi Dayak Sarawak yang sukar dimaafkan penduduk pelbagai kaum.
“Selagi PAS dipimpin Hadi, selagi itulah Sarawak menolak untuk bentuk kerjasama dengan PAS,” katanya.
Semalam, FMT melaporkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata PAS tidak akan dapat membentuk kerajaan persekutuan bersendirian memandangkan popularitinya terhad di Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.
Selepas PRU15, PAS mengetuai blok pembangkang dengan menguasai 43 kerusi Parlimen dan Bersatu (35), manakala kerajaan dibentuk gabungan parti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (Umno), dan Malaysia Timur yang menguasai 153 kerusi.
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah pula berkata PAS berdepan tugas berat menawan Putrajaya jika tidak mendapat sokongan pengundi Sabah dan Sarawak.
Katanya, ideologi politik PAS tidak dapat diterima oleh pengundi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Maka, cita-cita PAS untuk menawan Putrajaya tidak mungkin tercapai secara bersendirian,” katanya.