
Pemangku Ketua Polis Pahang Noor Hisam Nordin, berkata lelaki berusia 27 tahun itu pada mulanya menerima panggilan seorang individu menyamar pegawai polis, pada 27 Jun.
Beliau berkata, mangsa diberitahu akan ditangkap kerana terlibat dalam kegiatan ‘cuci wang haram’, selain kad bank milik mangsa juga digunakan seseorang terbabit kes jenayah.
“Suspek kemudiannya telah mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi yang diberikan serta mengisi semua maklumat perbankan, malah lelaki itu juga telah diarahkan untuk membuat transaksi ke akaun yang diberikan kononnya untuk siasatan lanjut.
“Akibat takut dan percaya dengan taktik itu mangsa telah melakukan transaksi tersebut sehingga mengalami kerugian berjumlah RM120,000,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa yang berasa ditipu kemudiannya membuat laporan polis di IPD Temerloh semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, Noor Hisam menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.