
Ketua Bersatu Kelantan, Kamaruddin Md Nor, berkata ini kerana keputusan akhir berhubung parti akan dipertaruh untuk mengekalkan kerusi terbabit akan dibuat pucuk pimpinan komponen termasuk daripada PAS.
“Kalau dia nak bincang peringkat atas sanalah…kena bawa kepada pucuk pimpinan bukan peringkat Kelantan tapi di Kuala Lumpur, pucuk tu maksudnya tertinggi.
“Keputusan dibuat peringkat pucuk pimpinan parti, jadi mereka yang tentukan bukan kita (di peringkat Kelantan),” katanya kepada FMT yang yakin jentera PAS akan tetap membantu walaupun tidak dipilih.
Semalam, FMT melaporkan PAS Gua Musang berharap calonnya diberi laluan bertanding PRK DUN Nenggiri dengan alasan kebimbangan pengundi episod peralihan sokongan berulang jika wakil Bersatu diletakkan.
Yang Dipertuanya Azman Ahmad mendakwa tindakan Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu berpaling tadah selepas menang memberi kesan dalam kalangan pengundi di kerusi bawah Parlimen Gua Musang itu.
Bagaimanapun, Azman menyerahkan perkara itu kepada pimpinan parti dan tidak akan memboikot jika Bersatu kekal bertanding di kerusi terbabit.
Jumaat lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata partinya sedia meletakkan calon mewakili PN di kerusi terbabit yang dirampas daripada Barisan Nasional (BN) pada PRN Ogos lalu.
Azizi yang bertanding bawah logo PAS ketika itu menewaskan Ab Aziz Yusoff daripada BN dengan majoriti 810 undi.
DUN Kelantan mengumumkan kekosongan luar jangka kerusi itu berkuat kuasa 19 Jun lalu selepas Bersatu menyerahkan notis pelucutan keahlian Azizi.