Budi bicara mutlak untuk beri pengampunan dimansuh pada 1994, mahkamah diberitahu

Budi bicara mutlak untuk beri pengampunan dimansuh pada 1994, mahkamah diberitahu

Peguam Zainur Zakaria berkata menurut Perkara 40(1A) Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat.

Yeo Yang Poh Zainur Zakaria Rajpal Singh Ghai
(Dari kiri) Yeo Yang Poh, Zainur Zakaria dan Rajpal Singh Ghai mewakili Badan Peguam dalam permohonan kebenaran untuk mencabar pengampunan yang diberikan kepada Najib Razak.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa pindaan Perlembagaan pada 1994 memansuhkan budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan.

Peguam, Zainur Zakaria, berkata Perkara 40(1A) kini menetapkan ketua negara hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat, dalam pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan.

“Sebelum pindaan itu, Agong mempunyai budi bicara mutlak untuk menerima atau menolak pengampunan,” kata Zainur, yang mewakili Badan Peguam dalam permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung kes Najib Razak.

Pada 2 Feb, lembaga mengumumkan bahawa hukuman penjara bekas perdana menteri itu berikutan sabitan kes SRC International dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib, 70, sedang menjalani hukuman di penjara Kajang dan dijadualkan bebas pada 23 Ogos 2028.

Dalam hujahnya di hadapan Hakim Ahmad Kamal Shahid, Zainur menjelaskan bahawa Badan Peguam tidak mencabar kuasa Agong untuk memberikan pengampunan tetapi proses lembaga membuat keputusan.

Bekas presiden Badan Peguam itu berkata, Agong hanya boleh bertindak menurut budi bicaranya berhubung melantik seorang perdana menteri; tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen; dan meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan, dan kebesaran raja-raja.

Dengan berkuat kuasanya Perkara 40(1A), menurut Zainur, budi bicara mutlak Agong berhubung pengampunan telah dimansuhkan dan baginda perlu mengikut nasihat lembaga.

Peguam, Yeo Yang Poh, yang membantu Zainur, berkata tiada mahkamah membincangkan kesan pindaan itu, berikutan undang-undang kes (case law) sedia ada mengenai perkara itu adalah sebelum 1994.

“Mentafsir Perkara 40(1A) tidak akan menyinggung mana-mana duluan yang mengikat. Bidang kuasa mahkamah ini tidak boleh dinyahkan atas alasan ketidakwajaran (non-justiciability) untuk mendengar hujah substantif (mengenai kesan pindaan),” kata Yeo, yang juga bekas presiden Badan Peguam.

Beliau berhujah peranan Agong dalam proses pengampunan adalah sama seperti melantik anggota Jemaah Menteri atas nasihat perdana menteri.

Yeo juga berkata mahkamah harus beri kebenaran kerana permohonan pihaknya itu tidak remeh dan memenuhi ambang yang ditetapkan undang-undang.

Sementara itu, hakim membenarkan peguam Najib, Shafee Abdullah, untuk berhujah dalam prosiding ini atas alasan hasil permohonan itu akan memberi kesan langsung pada anak guamnya, yang dinamakan sebagai responden bersama dalam tindakan ini.

Perbicaraan ditangguhkan kepada 18 Sept untuk Shafee memfailkan penghujahan bertulis dan untuk Badan Peguam dan peguam negara memberi maklum balas.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Peguam Persekutuan Safiyyah Omar mewakili peguam negara.

Dalam permohonannya, Badan Peguam, yang mewakili lebih 22,000 peguam di Semenanjung, memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan bersama lembaga menyalahi undang-undang, tidak mengikut Perlembagaan, dan tidak sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.