Kerajaan Madani ‘insafi’ keputusan PRK Sg Bakap

Kerajaan Madani ‘insafi’ keputusan PRK Sg Bakap

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau menerima suara rakyat yang diterjemahkan pada PRK di Pulau Pinang semalam.

Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perpaduan akan terus menjayakan agenda mengangkat martabat rakyat serta negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Madani menginsafi keputusan PRK Sungai Bakap di Pulau Pinang dan berazam menggiatkan usaha melaksanakan dasar dan inisiatif yang tepat untuk rakyat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau dan gabungan perpaduan menghormati dan menerima kekalahan calon PH pada PRK yang berlangsung semalam itu.

“Gabungan perpaduan menghormati dan menerima kekalahan calon PH pada PRK Sungai Bakap yang berlangsung dengan lancar dan aman,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

“Selaku perdana menteri, saya dengan penuh tawaduk menerima suara rakyat (pada PRK) DUN Sungai Bakap yang berlangsung ketika negara sedang meniti fasa penyesuaian dengan gelombang perubahan yang sedang giat dilaksanakan bawah hala tuju baharu Kerajaan Madani.”

Anwar berkata, kerajaannya akan terus menjayakan agenda mengangkat martabat rakyat serta negara.

“Dengan dasar dan komitmen yang jitu, gabungan perpaduan akan terus mengukuhkan kesatuan dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif bertepatan dengan realiti hari ini dan anjakan baharu negara yang sedang berjalan.”

Semalam, calon Perikatan Nasional (PN) daripada PAS Abidin Ismail menang pada PRK Sungai Bakap dengan 14,489 undi, memperoleh majoriti 4,267 undi berbanding lawannya, calon PH daripada PKR Joohari Ariffin, yang memperoleh 10,222 undi.

Kerusi Sungai Bakap disandang PKR selama tiga penggal dari 2008 sebelum Pengerusi PAS Nibong Tebal Nor Zamri Latiff menang pada PRN tahun lepas menewaskan Nurhidayah Che Rose (PKR) dengan majoriti 1,563 undi.

Kerusi itu kosong apabila Zamri meninggal dunia pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Susulan keputusan itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, meskipun kalah, parti itu akan terus berusaha melakukan perubahan demi masa depan Pulau Pinang dan Malaysia yang lebih baik.

PKR menyahut keputusan itu sebagai isyarat untuk muhasabah diri dan peringatan agar tidak terlalu selesa dengan kedudukan semasa, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.