
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar menjelaskan, kekecewaan terhadap pencapaian pemulihan ekonomi dan tidak gembira dengan penyasaran subsidi diesel melatari pandangan pengundi yang ditemui, selain pemilihan wakil rakyat baharu Sungai Bakap tidak mengubah status quo pada peringkat negeri.
“Saya simpulkan pengundi Cina kelihatan mulai kritikal tetapi mereka tidak sampai mengundi Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Hisomuddin juga mendakwa jentera DAP, yang memimpin kerajaan negeri, dilihat tidak begitu agresif dalam kempen kali ini.
PN berjaya mempertahankan DUN Sungai Bakap dengan calonnya, Abidin Ismail meraih 14,489 undi berbanding 10,222 undi diperoleh calon PH Joohari Ariffin, menang dengan majoriti 4,267 undi.
Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, terdapat pengurangan ketara dalam peratusan keluar mengundi, terutama dalam kalangan pengundi Cina, menyumbang kepada kekalahan PH.
Katanya, peratusan keluar mengundi dalam kalangan masyarakat Cina dianggarkan 49%, merosot sebanyak 13% daripada angka pada PRN lepas.
“Bagi pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina, aras sokongan agak rendah,” kata Hisomuddin.
Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, beliau menjangkakan ‘protes’ itu daripada kumpulan berpendapatan menengah dan tinggi yang tidak menikmati bantuan subsidi.
“Kemungkinan mereka merajuk dan protes, kemudian dengar pula laporan kemungkinan akan berlaku kenaikan (harga) RON95. Berita seperti itu tidak menggembirakan rakyat,” katanya.
Mazlan berkata, PN berjaya memainkan naratif kenaikan harga bahan api, sehingga rakyat merasakan seolah-olah kerajaan tidak menunaikan janji.
Mengulas tentang trend sokongan pengundi Melayu, yang peratusan keluar mengundi dikatakan sekitar 70%, Mazlan sudah menjangka ia akan memihak kepada PN.
Beliau menyifatkan isu berkenaan firma pelaburan global, BlackRock, yang dikaitkan dengan pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), sebagai ‘tambahan’.
“Orang Melayu keluar mengundi nampak bersungguh-sungguh untuk menunjukkan mereka protes terhadap kerajaan,” katanya.