Saya bukan posmen, Johari beritahu pemimpin Bersatu

Saya bukan posmen, Johari beritahu pemimpin Bersatu

Speaker Dewan Rakyat kekal dengan keputusan tidak mengosongkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu.

johari abdul
Johari Abdul menegaskan sudah menimbang dengan teliti perkara itu sebelum membuat keputusan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul kekal dengan keputusan tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah menyokong kerajaan.

Beliau menegaskan sudah menimbangkan perkara itu dengan teliti sebelum membuat keputusan.

“Saya bukan posmen, bila saya menerima apa juga diberikan kepada saya…saya akan pastikan saya kaji semua.

“Malah saya baca kenyataan dalam pindaan Perkara 49 (Perlembagaan Persekutuan) itu. Keputusan kekal seperti dimaklumkan kepada (Ahli Parlimen) Beluran (Ronald Kiandee),” katanya di Dewan Rakyat.

Menerusi surat pemberitahuan semalam, Johari memaklumkan tiada kekosongan kerusi berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.

Terdahulu, Kiandee (PN-Beluran) membangkitkan perkara itu ketika Johari masuk menggantikan Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor untuk mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Keterangan Saksi Kanak-kanak (Pindaan) 2024.

Kiandee bangun meminta penjelasan berhubung keputusan itu dan mendakwa Johari tidak mempunyai kuasa untuk tidak mengosongkan kerusi terbabit dan tidak boleh membuat keputusan tersebut.

“Saya nakkan pencerahan, saya nak menyokong tapi perkara bawah perlembagaan harus dipegang dengan teliti. Kamu tidak berkuasa buat keputusan tapi memastikan kekosongan itu berlaku,” katanya.

Antara Ahli Parlimen berhujah menolak keputusan Johari adalah Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Awang Hashim (PN-Pendang), Shahidan Kassim (PN-Arau) dan Radzi Jidin (PN-Putrajaya).

Syahredzan Johan (PH-Bangi) menjadi Ahli Parlimen kerajaan yang bangkit mempertahankan keputusan Johari diikuti RSN Rayer (PH-Jelutong).

Dalam hujahnya, Syahredzan menegaskan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan speaker Dewan Rakyat berhak menentukan kekosongan kerusi.

Hamzah Zainudin (PN-Larut) kemudian bangun dan mempersoalkan Johari dengan mendakwanya salah dalam membuat keputusan itu.

“Jangan ikut sedap, kalau kita ikut sedap bukan hanya apa dikata tempoh hari, yang menjahanamkan adalah keputusan salah speaker. Ini yang menjahanamkan.

“Keputusan speaker adalah salah, sepatutnya speaker tak ikut perjanjian dibuat gabungan, speaker kena ‘non-partisan’,” katanya sebelum meninggalkan Dewan disusuli Ahli Parlimen PN lain.

Johari kemudian meneruskan persidangan dan menyambung semula perbahasan RUU berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.