
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata langkah itu diambil berdasarkan implikasi kewangan tambahan Felda sebanyak RM121.6 juta setahun akibat kenaikan harga diesel.
“Langkah ini diambil bagi memastikan pendapatan peneroka Felda tidak sama sekali terkesan, ” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2024 peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
Anwar berkata kerajaan turut meluluskan RM31.7 juta untuk 317 tanah rancangan Felda bagi Program Sejahtera Komuniti Madani.
“Saya berharap inisiatif ini akan memberi impak positif kepada komuniti Felda,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar mengutuk serangan terhadap bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang cedera dalam kejadian tembakan ketika berkempen di Butler, Pennsylvania.
“Kita baru dapat maklumat awal. Apa pun pendirian kita tentang mana-mana tokoh, cara ini bukan penyelesaian.
“Oleh demikian kita lahirkan simpati kepada Donald Trump,” katanya.
Dalam kejadian itu, Trump dilaporkan cedera pada telinga kanannya selepas terkena tembakan dalam perhimpunan kempen berkenaan.
Suspek yang melepaskan beberapa das tembakan hingga mencederakannya itu bagaimanapun telah ditembak mati.