

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata Bersatu yang diuji peralihan sokongan enam Ahli Parlimennya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin enggan melihat perpecahan lebih teruk apabila ada persaingan.
Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
“Jadi jalan terbaik mengurangkan persaingan sesama ahli yang lain dan terus bergerak ke depan tanpa perlu mewujudkan polemik baharu,” katanya kepada FMT.
Sabtu lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dicadangkan memegang jawatan sebagai timbalan presiden, manakala Azmin Ali menggantikan kedudukan sedia ada Hamzah, menerusi ‘pelan kompromi’ bagi mengelakkan pertembungan bagi jawatan tertinggi.
Mengikut rundingan, Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu akan berundur setapak untuk bertanding naib presiden bersama dua penyandang Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin.
Namun kata Ariff Aizuddin, Bersatu mungkin terpaksa berdepan kecaman dan kritikan ramai berhubung pelan kompromi itu yang seolah-olah menunjukkan tiada ruang demokrasi dalam parti peneraju Perikatan Nasional (PN) itu.
“Memang ia wujudkan proses demokrasi parti itu sedang dimandulkan sedikit demi sedikit apabila jawatan utama tidak dipertandingkan.
“Tetapi ia hanya sementara dan tidak membawa kepada peralihan sokongan kerana isu nasional dan survival Melayu Islam jadi faktor utama menguatkan sokongan akar umbi kepada Bersatu,” katanya.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula berpendapat pengumuman Muhyiddin itu pastinya telah dirunding di peringkat tertinggi parti yang berlandaskan konsep demokrasi perbincangan.
“Cadangan itu pasti mempunyai alasan sendiri umpamanya Hamzah lebih berprofil nasional sedangkan Faizal Azumu peringkat kenegerian…dari segi umur Faizal masih ada peluang menggilap prestasinya dalam menghadapi tugas mencabar.
“Hamzah pula mempunyai pengalaman ‘pertempuran’ dengan Anwar Ibrahim sejak dahulu lagi,” katanya.