
Anwar berkata negara terpaksa meminjam wang setiap tahun untuk membayar hutang sebelum ini termasuk berkaitan 1MDB.
Katanya, beliau sering diserang di media sosial dan dituduh ‘tidak memberikan jawapan sebenar’.
“Mereka kata hutang negara terus meningkat, tetapi mereka tidak melihat punca sebenarnya ia berlaku.
“Setiap tahun kerajaan meminjam wang untuk prasarana dan membayar hutang sebelum ini,” katanya ketika merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan.
Pada minggu lalu, Anwar berkata hutang kerajaan persekutuan meningkat RM50 bilion kepada RM1.22 trilion setakat akhir April tahun ini, berbanding RM1.17 trilion pada akhir tahun lalu.
Anwar memberi contoh hutang ditanggung 1MDB berjumlah RM48 bilion, dan berkata wang dipinjam untuk menyelesaikan hutang sebelum ini terus menjadi beban terbesar kerajaan.
“Bayangkan sekiranya kita boleh belanjakan wang itu untuk prasarana, seperti sekolah, klinik dan sebagainya.
“Tetapi saya tidak boleh abaikan dan saya tidak boleh kata tidak mahu bayar hutang 1MDB, seperti dibuat oleh pentadbiran terdahulu,” katanya.
Menurut Anwar, kerajaan mengurangkan jumlah wang yang dipinjam.
“Pada 2021 dan 2022, kerajaan meminjam RM100 bilion. Apabila saya berkuasa, kita kurangkan (wang dipinjam) kepada RM93 bilion. Pada tahun ini RM86 bilion.
“Ini adalah hasil usaha kerajaan untuk mengurangkan deficit daripada 5.6% pada 2022 kepada 5% paa 2023 dan 4.3% pada 2024.
“Kini sasaran jangka sederhana adalah mengurangkan hutang negara daripada 64% daripada KDNK negara kepada 60%.”