ASP antara 3 polis didakwa bunuh lelaki

ASP antara 3 polis didakwa bunuh lelaki

Dua koperal juga didakwa secara bersama membunuh Mohamad Hafiz Salleh, Januari lalu.

gavel
Mahkamah Majistret Langkawi tidak membenarkan ikat jamin ke atas semua tertuduh. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Pegawai berpangkat asisten superintendan (ASP) antara tiga polis dituduh di Mahkamah Majistret Langkawi kerana membunuh seorang lelaki, Januari lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas ASP Azhar Mohamad Amir, 45; dan dua koperal, Shahril Firdaus Solleh, 36, dan Mohd Shaharri Shah Mat Saad, 36, dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Langkawi, didakwa secara bersama membunuh Mohamad Hafiz Salleh, 32, lapor Berita Harian.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat operasi BSJN, IPD Langkawi, antara 6 petang hingga 8 malam pada 29 Jan lalu.

Berikutan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau dipenjara minimum 30 tahun atau minimum 12 sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Abd Halim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menerima permohonan pendakwaan tidak membenarkan ikat jamin terhadap semua tertuduh dan menetapkan 20 Okt ini bagi sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.