Jangan takut kehadiran kapal China di Laut China Selatan, kata PM

Jangan takut kehadiran kapal China di Laut China Selatan, kata PM

Perdana menteri menegaskan rakyat tidak perlu takut dengan kapal Pengawal Pantai China (CCG) di kawasan Beting Patinggi Ali.

Beting Patinggi Ali terletak di 155km dari pantai Miri, Sarawak, dan dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menasihatkan nelayan dan pemancing di Laut China Selatan untuk tidak bimbang dengan kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG), khususnya di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali.

“Jangan takut, jangan takut,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita mengenai kegusaran nelayan tempatan di perairan Laut China Selatan mengenai kehadiran kapal berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bulan Keselamatan Negara 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Khaled Nordin, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Terdahulu, media melaporkan terdapat kegusaran dalam kalangan nelayan di perairan berkenaan mengenai kehadiran kapal CCG di sekitar kawasan berkenaan yang menyukarkan nelayan dan pemancing menjalankan aktiviti mereka.

Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika (155km) dari pantai Miri, Sarawak, dan dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Kementerian Pertahanan sebelum ini, berkata tentera laut sentiasa memantau enam kawasan maritim Malaysia merangkumi Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulawesi, dan Laut Sulu untuk mengesan kapal mencurigakan dan kapal perang negara lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.