Saya kehilangan sahabat, pejuang sejati Palestin, kata Anwar

Saya kehilangan sahabat, pejuang sejati Palestin, kata Anwar

Perdana menteri mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail Haniyeh dan menyifatkannya tindakan kejam serta sangat tragik.

Anwar with Ismail Haniyeh
Anwar Ibrahim bertemu Ismail Haniyeh di Qatar pada Mei lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau kehilangan sahabat akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin selepas pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh terbunuh dalam serbuan rejim Zionis di Iran.

Beliau mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail dan menyifatkannya sebagai tindakan kejam dan sangat tragik.

“…yang jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza yang meragut lebih 40,000 nyawa.

“Pembunuhan besar-besaran ini hanya boleh berlaku dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum,” katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata, hanya mereka tiada sifat kemanusiaan sahaja yang tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel bagi menghentikan pembantaian.

Katanya, rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad dan amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan Ismail.

“Mereka yang telah mengkritik saya saat ketemu Ismail sebelum ini telah gagal menghargai keinginan mendalam almarhum untuk sebuah Timur Tengah yang aman dan pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan,” katanya.

Kumpulan Palestin dan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dalam kenyataan berasingan berkata Ismail terbunuh dalam serbuan rejim Zionis di kediamannya di Tehran.

Pemimpin Hamas itu menghadiri upacara mengangkat sumpah presiden baharu Iran pada Selasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.