Pakar gesa siasat jual buah pinggang sehingga RM500,000 di media sosial

Pakar gesa siasat jual buah pinggang sehingga RM500,000 di media sosial

Pengguna media sosial bebas mengiklankan penjualan buah pinggang di sebuah kumpulan Facebook dikenali 'Mencari Penderma Buah Pinggang'.

surgery operation
Dr Zainal Ariffin Omar bimbang kerana pemindahan organ seperti buah pinggang bukan perkara mudah dan memerlukan pembabitan pakar. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Seorang pakar perubatan kesihatan awam menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap aktiviti penjualan buah pinggang berharga RM10,000 hingga RM500,000 didakwa di media sosial.

Dr Zainal Ariffin Omar yang juga bekas pengarah kesihatan Pahang berkata beliau bimbang melihat ‘pengiklanan’ penjualan salah satu organ terpenting badan itu dibuat tanpa kawalan dan terbuka menerusi sebuah kumpulan di Facebook dikenali ‘Mencari Penderma Buah Pinggang’.

Dr Zainal Ariffin Omar.

“Apakah mereka ini bergurau atau serius kerana pendermaan dan pemindahan buah pinggang bukan satu perkara mudah selain perlu melalui ujian kesesuaian yang memerlukan pembabitan pakar.

“Bukan seperti dalam filem…keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada rakyat kita sudah terlalu terdesak,” kata aktivis kesihatan awam itu kepada FMT sambil berharap Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bertindak segera.

“Perlu buat siasatan dan tindakan sewajarnya.”

Sementara itu, Pakar Urologi Dr Rohan Malek menegaskan aktiviti tersebut menyalahi undang-undang negara.

Antara tangkap layar pengiklanan penjualan buah pinggang di Facebook.

“Penjualan organ atas apa jua alasan sama ada ia dilakukan secara terbuka atau persendirian tidak dibenarkan dan menyalahi undang-undang,” katanya.

Pemerhatian FMT mendapati aktiviti penjualan buah pinggang menerusi Facebook itu telah berlaku sejak Dis 2022 yang ketika ini mempunyai seramai 695 ahli.

Ada diantaranya mahu menjual buah pinggang di antara RM10,000 sehingga RM500,000 dengan memberi alasan terdesak memerlukan wang tunai bagi membayar hutang.

Malah, pengguna tersebut sedia untuk menjalankan saringan kesihatan dan turut meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi.

Bagi meyakinkan pembeli, ada yang menyertakan laporan kesihatan untuk menunjukkan tubuh badan serta buah pinggang mereka sihat.

“Saya serius nak jual buah pinggang, harga memang boleh runding.

Saya bagi murah-murah sahaja sebab terdesak nak guna duit, harap ada yang bantu,” kata seorang pengguna Facebook.

FMT telah menghubungi Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan bagi mendapat maklum balas mengenai perkara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.