2 hilang dikhuatiri lemas, 1 parah bot berlanggar di Semporna

2 hilang dikhuatiri lemas, 1 parah bot berlanggar di Semporna

Pengarah Zon Maritim Semporna Amir Shubli berkata individu yang melanggar bot mangsa telah melarikan diri.

Pengarah Zon Maritim Semporna Amir Shubli berkata operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketiga diperluaskan kepada lima sektor dengan radius kawasan ditambah kepada 27 batu nautika persegi. (Gambar Envato Elemnts)
PETALING JAYA:
Dua penumpang dikhuatiri lemas, manakala seorang lagi parah selepas bot mereka dilanggar bot lain di perairan Pulau Sebangkat, dekat Semporna.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi Selasa lalu, dua mangsa hilang dikenali Rommek Tura, 30, dan Jimal, manakala penumpang parah dikenali Reymar serta seorang lagi penumpang terselamat, Bocoi juga berusia 30 tahun.

Pengarah Zon Maritim Semporna Amir Shubli berkata bot dinaiki empat mangsa dikatakan keluar ke laut pada 5 petang Isnin lalu sebelum dilanggar sebuah bot lain di perairan Pulau Sebangkat.

“Namun, individu yang melanggar bot mangsa telah melarikan diri,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata Reymar yang cedera di lengan, lutut dan belakang badan dirawat di wad kecemasan Hospital Semporna.

Menurutnya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu diaktifkan untuk operasi mencari dan menyelamat, dengan dua bot dari Zon Maritim Semporna digerakkan ke lokasi sebaik menerima maklumat daripada IPD Semporna.

“Operasi memasuki hari ketiga kini diperluaskan kepada lima sektor dengan penambahan radius kawasan kepada 27 batu nautika persegi,” katanya sambil menambah operasi itu turut dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam serta Taman-Taman Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.