
Ketua Amanah Kluang, Mohd Zuhan Mohd Zain, berkata beliau yakin perkara itu dapat diselesaikan dengan baik dan menyerahkan pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk membuat keputusan.
“Setakat ini kita serahkan kepada pucuk pimpinan bermuzakarah, bincang dan diskusi (menyelesaikan isu berbangkit).
“Kita takkan beri ruang pada PN mengambil sedikit pun daripada isu yang dibangkitkan ini,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini Amanah Kluang menuntut untuk diberi laluan bertanding pada PRK DUN Mahkota yang akan diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Presiden Amanah Mohamad Sabu menegur ahlinya itu supaya isu berkenaan tidak dibincangkan di media dan mahu semua pihak memberi tumpuan kepada PRK Nenggiri.
Manakala Presiden Umno Zahid Hamidi hari ini pula dilaporkan berkata parti dalam kerajaan perpaduan tidak wajar menuntut kerusi bukan milik mereka.
Sementara itu, Zuhan berkata beliau melihat secara positif kenyataan Zahid itu dan percaya masih ada ruang untuk PH dan BN berbincang mengenai perpaduan di Johor.
“Kita lihat isu lebih besar berbanding di kerusi DUN Mahkota iaitu mengenai keharmonian.
“Pada saya bukan isu tentang tuntut kerusi DUN Mahkota yang utama, tetapi Zahid harus lihat kesinambungan dan keharmonian kerajaan perpaduan di Johor itu lebih utama,” katanya.