
Pengarah KPDN negeri S Jegan berkata serbuan menerusi Ops Tiris 3.0 itu dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa hasil maklumat dan risikan yang memaklumkan terdapat aktiviti penyewengan diesel di stesen itu.
Beliau berkata ketika serbuan, lori berkenaan didapati sedang memindahkan cecair disyaki diesel ke dalam tangki minyak dengan menggunakan sembilan kad fleet di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati empat kad fleet yang mempunyai resit pembelian disyaki diguna pakai dengan salah.
“Susulan itu, kita merampas sejumlah 8,500 liter minyak diesel bernilai RM19,975 yang berada dalam sebuah tangki besi selain menyita sebuah lori, dua unit hos dan satu unit pam bermotor dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM34,075,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran diesel, termasuklah sumber ia diperolehi dan edaran mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.