PRK Nenggiri: ‘Orang luar mungkin gelak kami mahu ATM’

PRK Nenggiri: ‘Orang luar mungkin gelak kami mahu ATM’

Ada penduduk Nenggiri yang tiada kenderaan terpaksa bayar tambang RM50 untuk ke bandar Gua Musang atau Dabong sejauh 50km bagi mengeluarkan wang daripada ATM.

Penduduk Nenggiri berharap wakil rakyat baharu dapat membawa perubahan seperti berbincang dengan bank menyediakan kemudahan ATM. (Gambar Bernama)
GUA MUSANG:
Bagi segelintir penduduk Nenggiri, mengeluarkan duit dari bank atau mesin juruwang automatik (ATM) di bandar Gua Musang atau Dabong mungkin menyebabkan mereka terpaksa membayar tambang kereta sewa sekitar RM50.

Itu dilalui Kipli Isa, 54, dari Kampung Bertam Baru yang tiada pilihan selain terpaksa membayar kos tambahan itu yang sepatutnya boleh digunakan menampung keperluan asas keluarganya, memandangkan dirinya tidak mempunyai kereta.

Kipli Isa
Kipli Isa.

“Saya hanya ada motosikal sahaja, nak keluarkan duit di ATM terpaksa ke bandar Gua Musang dan Dabong sejauh 50km…bimbang bahaya lalu jalan hutan serta gelap.

“Jadi naik kereta sewa bayar RM50 (perjalanan dua hala), kalau keluar RM100 maksudnya separuh untuk pengangkutan selebihnya beli barang,” kata tukang kebun di sebuah sekolah itu kepada FMT sambil menaruh harapan kemudahan ATM disediakan segera.

“Kalau boleh letak ATM di kawasan tumpuan ramai dan selamat, jadi jimat kos kami ke bandar dan memudahkan peniaga.”

FMT difahamkan ada beberapa kedai runcit menjadi ejen bank namun pengeluaran hanya terhad kepada RM300 sahaja bagi setiap seorang penduduk.

Bagi Suriani Mustafa, 47, dari Kampung Bertam Lama, permintaan penduduk supaya kemudahan ATM disediakan mungkin dianggap ‘melucukan’ oleh orang luar terutama dari bandar namun itulah harapan mereka selama ini.

“Bila cakap nak mesin ATM orang luar mungkin gelak tapi hanya kita di pedalaman ini sahaja dapat rasa betapa pentingnya termasuk untuk kirim duit kepada anak-anak di universiti.

“Malah ada keluarga kami tinggal di Kuala Sungai terpaksa naik bot 30 minit kemudian sambung guna kereta untuk ke bandar Gua Musang,” katanya mengakui akses internet terhad juga menyebabkan transaksi perbankan elektronik kurang digunakan.

Sehubungan itu, Suriani berharap wakil rakyat baharu bakal dipilih pada PRK 17 Ogos ini mengambil perhatian masalah itu dan cuba berbincang dengan bank untuk menyediakan kemudahan ATM.

Seramai 20,259 pemilih layak akan membuat penentuan sama ada mahu calon PAS Mohd Rizwadi Ismail atau Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani daripada Barisan Nasional mewakili mereka selepas kerusi itu dikosongkan apabila penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim terlucut keahlian Bersatu.

Mahathir Mohamad
Mahathir Mohamad.

Bagi Mahathir Mohamad, 44, dari Sungai Asap, penduduk terutama orang muda mahukan lebih banyak peluang pekerjaan disediakan supaya mereka tidak lagi berhijrah mencari untuk rezeki.

“Ramai ke Kuala Lumpur kerana peluang terhad, di sini banyak pokok getah dan sawit tetapi mereka tidak minat usahakan…mungkin boleh cuba bawa kilang pertanian untuk tarik minat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.