Syarikat pemula boleh bentang idea terus kepada Ahli Parlimen

Syarikat pemula boleh bentang idea terus kepada Ahli Parlimen

Inisiatif itu bertujuan mendapatkan sokongan dan dukungan Ahli Parlimen memupuk inovasi peringkat tertinggi.

fahmi fadzil
Syarikat pemula niaga mahu jalin kerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi untuk program usahawan dengan penggubal dasar, seperti disarankan menterinya, Fahmi Fadzil. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Syarikat pemula niaga Malaysia kini boleh membentangkan idea mereka terus kepada penggubal dasar di Parlimen seperti disarankan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Sidang Kemuncak Syarikat Pemula KL (KLSS) 2024, 17 Julai lalu.

KLSS dalam kenyataan, memaklumkan bahawa Fahmi dalam ucapan perasmiannya telah melontarkan idea itu untuk perbincangan dan mesyuarat usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seterusnya yang akan diadakan di Parlimen.

Menurut KLSS, inisiatif itu bertujuan mendapatkan sokongan serta dukungan Ahli Parlimen bagi menekankan komitmen kerajaan dalam memupuk keusahawanan dan inovasi di peringkat tertinggi.

“Penganjur komited untuk menjalin kerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi untuk mereka bentuk program yang menghubungkan usahawan peringkat awal dengan penggubal dasar secara berkesan,” katanya.

Pengarah KLSS 2024 Inbaraj Suppiah dalam kenyataan sama, memaklumkan sidang kemuncak itu bertujuan menjadi hab syarikat pemula niaga dan usahawan, menyediakan akses langsung serta menghubung syarikat pemula Malaysia dengan penggubal dasar melalui penganjuran ‘Demo Days’ di Parlimen.

Edisi keempat KLSS, yang dianjurkan komuniti syarikat pemula dan PKS di Malaysia, dihadiri lebih 300 orang termasuk usahawan peringkat awal, pelabur, pembina ekosistem, dan pelbagai wakil korporat serta kerajaan.

Ia menampilkan perbincangan panel, bengkel kelas pakar, dan sesi ‘pitching’, melibatkan peserta dalam pembelajaran daripada pemimpin industri, rangkaian dinamik serta membina hubungan bermakna bagi memupuk inovasi dan pertumbuhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.