4 penguat kuasa antara 11 direman berkait kes ‘kaunter khas’

4 penguat kuasa antara 11 direman berkait kes ‘kaunter khas’

Suspek ditahan bagi membantu siasatan sindiket membawa masuk warga asing menerusi KLIA Terminal 2.

kaunter khas sprm
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah remah hari ini. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Empat penguat kuasa antara 11 individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Tiga penguat kuasa lelaki direman lima hari hingga 25 Ogos manakala seorang lagi penguat kuasa lelaki direman tiga hari hingga 23 Ogos.

Empat pemilik syarikat membabitkan dua lelaki serta seorang wanita pula direman lima hari, dan seorang pemilik syarikat wanita direman empat hari hingga 24 Ogos.

Turut direman lima hari adalah dua orang awam iaitu seorang lelaki dan wanita dipercayai bertindak menjadi wakil ejen sindiket terbabit, selain seorang pengurus syarikat lelaki direman empat hari.

Antara barangan dirampas dalam operasi SPRM sebelum ini. (Gambar SPRM)

Semalam, media melaporkan individu terbabit ditahan selepas disyaki terlibat sindiket membawa masuk warga asing secara haram dengan meraih keuntungan lebih RM4 juta, sejak dua tahun lalu.

Sumber berkata, semua supek berusia 20 hingga 50-an ditahan bagi membantu siasatan sindiket membawa masuk warga asing menerusi Terminal 2 menggunakan modus operandi ‘counter setting’ atau laluan ‘kaunter khas’ dengan bantuan pegawai penguat kuasa sebuah agensi.

“Sindiket ini dipercayai bersekongkol dengan beberapa pegawai agensi penguat kuasa yang bertindak mengatur laluan ‘kaunter khas’ khusus untuk kumpulan warga asing tertentu yang tiba di negara ini menggunakan khidmat penerbangan sejak beberapa tahun lalu.

“Menerusi laluan kaunter khas yang diatur ini, kumpulan warga asing yang menggunakan khidmat sindiket berkenaan akan masuk dengan mudah tanpa perlu melalui pemeriksaan mengikut prosedur yang ditetapkan berdasarkan Pekeliling Imigresen Bilangan 4 Tahun 2021,” katanya.

Menurut sumber, susulan operasi dijalankan, SPRM turut menyita beberapa keping pasport warganegara Pakistan dan Indonesia, 13 unit telefon bimbit, barang kemas serta kepingan emas selain wang tunai berjumlah lebih RM40,000.

Katanya, semua suspek terbabit termasuk seorang penguat kuasa yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan dengan jaminan SPRM sebelum ini ditahan menerusi Op Pump sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan sekitar 9 hingga 6 petang semalam.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.