Naimah mohon batal tuntutan tunggakan cukai RM313 juta

Naimah mohon batal tuntutan tunggakan cukai RM313 juta

LHDN memetik peruntukan yang salah dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 apabila mengeluarkan notis tuntutan, dakwa isteri Daim Zainuddin itu.

naimah
Naimah Khalid mendakwa, LHDN bersekongkol dengan SPRM untuk menyusahkan dirinya dan mencemarkan nama baiknya. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Isteri bekas menteri kewangan Daim Zainuddin memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi pembayaran tunggakan cukai RM313.8 juta.

Naimah Khalid menegaskan, LHDN memetik peruntukan yang salah dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 apabila mengeluarkan notis menuntut pembayaran jumlah tersebut sebagai cukai taksiran 2018.

Beliau juga berkata, sejak Januari, LHDN menyoalnya mengenai penambahan sahamnya dalam Ilham Baru Sdn Bhd, dan mendakwa dia menggunakan pendapatan tidak dilaporkan untuk membayar pinjaman antara Ilham Baru, Ilham Tower Sdn Bhd, dan Welberton Private Equity Corp.

LHDN juga berkata, dia memiliki beberapa hartanah di Amerika Syarikat yang didakwa gagal diisytiharkan, iaitu unit-unit di Nantasket Beach Resort Hotel di Massachusetts, Chauncy Place dan Hotel Buckminster dan Annex di Boston.

Hartanah ini bernilai lebih RM700.6 juta, dakwa LHDN.

Bagaimanapun, Naimah berkata, hartanah ini dibeli lebih 30 tahun lepas, dan tidak boleh dinilai menggunakan harga pasaran setakat 2018.

“Peguam saya menjelaskan bahawa aset itu bukan terletak di dalam negara dan tidak termasuk dalam bidang kuasa LHDN,” katanya.

“Tetapi LHDN menyatakan, selagi saya pembayar cukai di sini (Malaysia), saya tertakluk kepada audit yang berkaitan dengan semua sumber pendapatan saya, tidak kira dari mana ia datang.”

Naimah seterusnya mendakwa, LHDN bersekongkol dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyusahkan dirinya dan mencemarkan nama baiknya.

Dia juga memohon deklarasi mahkamah bahawa peruntukan Akta Cukai Pendapatan tidak boleh dilanjutkan menghendaki pembayar cukai memberikan maklumat mengenai aset asing mereka.

Mahkamah menetapkan 3 Sept untuk pengurusan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.