Pengarah agensi penguatkuasaan ditahan SPRM di Sarawak

Pengarah agensi penguatkuasaan ditahan SPRM di Sarawak

Lelaki itu dipercayai terima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi.

seludup minyak sibu
Tiga lelaki dan dua wanita ditahan dalam serbuan SPRM dan KPDN ke atas depoh penyimpanan minyak di Sibu pada Ahad, ketika menggempur sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Seorang pengarah agensi penguatkuasaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuching, Sarawak kerana dipercayai menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Sibu.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Sarawak pada kira-kira 6.20 petang tadi bagi dirakamkan keterangan.

“Suspek dipercayai telah menerima suapan daripada sindiket berkenaan sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan dan undang-undang terhadap kegiatan penyeludupan minyak diesel di Sibu.

“Tangkapan ke atas suspek adalah susulan serbuan dilakukan Bahagian Operasi Khas SPRM menerusi Op Liter di sebuah depoh simpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu pada Ahad lalu,” katanya.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek. Dia telah dilepaskan dengan jaminan SPRM dengan seorang penjamin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM.

SPRM sebelum ini menahan dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak, kerana dipercayai terbabit sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi, di Sungai Bidut, Sibu.

Kedua-dua suspek lelaki, masing-masing berumur dalam lingkungan 40-an, dan adiknya, 30-an, ditahan dalam Op Liter yang dijalankan Bahagian Operasi Khas dan Skuad Taktikal Khas SPRM dengan kerjasama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Dalam operasi itu, SPRM menyita dua tongkang dan 30 tangki simpanan minyak yang dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter minyak diesel serta wang tunai kira-kira RM3.7 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.