
Loke berkata keputusan membantu kempen BN diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusatnya semalam, dengan fokus kepada meyakinkan pengundi keluar mengundi dan memilih calon kerajaan perpaduan.
“Kita akan menggerakkan jentera dan sudah menugaskan Ahli Parlimen Kluang kerana DUN Mahkota itu berada dalam parlimennya.
“Wong sebagai penyelaras utama bagi DAP untuk membantu kempen ini,” katanya menurut Berita Harian selepas satu program di Pelabuhan Klang.
Pada PRN Mac 2022, BN menang kerusi itu menerusi Sharifah Azizah Syed Zain dengan majoriti 5,166 undi dalam saingan empat penjuru menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Warisan.
PRK diadakan susulan kematian Sharifah Azizah pada 2 Ogos lalu.
Ketua Umno Kluang Jais Sarday, Naib Ketua Wanita Zainani Jamaluddin dan Ketua Pemuda Syed Husein Syed Abdullah, antara lima nama dipertimbang sebagai calon.
Sebelum ini, kerusi itu turut menjadi rebutan Amanah namun PH memberi laluan kepada BN mewakili kerajaan perpaduan susulan kedudukannya sebagai penyandang kerusi.