Kenapa tak hapus Akta Hasutan ketika Muhyiddin PM, Puad soal Hamzah

Kenapa tak hapus Akta Hasutan ketika Muhyiddin PM, Puad soal Hamzah

Ahli MKT Umno berkata Hamzah Zainudin juga adalah menteri dalam negeri sepanjang 17 bulan PN berkuasa.

Puad Zarkashi
Puad Zarkashi berkata Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin berpeluang menghapuskan Akta Hasutan ketika mereka perdana menteri dan menteri dalam negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Puad Zarkashi mempersoalkan mengapa pemimpin Bersatu tidak memansuhkan Akta Hasutan yang didakwa sebagai ‘zalim’ sepanjang 17 bulan Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, pemimpin Bersatu tidak perlu mendabik dada mendakwa sepanjang Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri beliau tidak pernah menggunakan Akta Hasutan.

“Dia (Muhyiddin) jadi perdana menteri 17 bulan. Masa itu Hamzah menteri KDN. Kenapa tak hapus Akta Hasutan?” soalnya merujuk kepada Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.

“Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih, 17 bulan tidak cukup masa ke? Kalau salah, denda RM5,000 atau penjara tiga tahun. Bukan RM200 juta.”

Semalam, Hamzah menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Harapan dalam kerajaan adalah hipoktrit kerana menggunakan Akta Hasutan terhadap presiden Bersatu itu.

Katanya, Anwar dan PH berulang kali secara zalim menggunakan Akta Hasutan selepas berkuasa untuk menekan dan menindas lawan politik

Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad juga berkata terdapat dasar moratorium (menggantung) Akta Hasutan ketika bekas perdana menteri itu menjadi menteri dalam negeri.

Beliau turut membidas kerajaan perpaduan yang didakwanya menggunakan akta itu walaupun sebelum ini mereka menganggap ia sebagai zalim.

Bagaimanapun, Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil menegaskan pemerintah tidak ada kaitan dengan pertuduhan menghasut terhadap Muhyiddin di mahkamah.

Beliau berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan pertuduhan terhadap Muhyiddin bukan berdasarkan laporan polis oleh kerajaan, sebaliknya oleh wakil Istana Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.