Kartel tipu tuntutan Perkeso, KKM tak tolak ansur penyelewengan kuasa

Kartel tipu tuntutan Perkeso, KKM tak tolak ansur penyelewengan kuasa

KKM berkata pihaknya akan agak mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkhidmatan kesihatan awam berada pada tahap terbaik.

SPRM mengesahkan tiga doktor ditahan termasuk dua dari hospital kerajaan untuk siasatan kartel memalsukan tuntutan hilang upaya Perkeso.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan bertolak ansur dengan sebarang penyelewengan kuasa oleh warganya susulan siasatan kartel yang dikatakan telah memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Pulau Pinang.

KKM menerusi kenyataan berkata pihaknya mengambil maklum penahanan tiga doktor kanan untuk membantu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain memberi jaminan kerjasama sepenuhnya.

“Kementerian ini tidak akan bertolak ansur dengan sebarang elemen penyelewengan kuasa oleh warga KKM serta tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkhidmatan kesihatan awam sentiasa pada tahap terbaik,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan pihaknya menahan 32 individu termasuk tiga pegawai perubatan di Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kartel yang dikatakan telah memalsukan tuntutan hilang upaya Perkeso di negeri itu.

Menurutnya, mereka yang ditahan ialah dua pegawai perubatan kanan hospital kerajaan dan seorang doktor pakar hospital swasta.

Kesemua 32 individu itu terdiri daripada 19 pencarum Perkeso, lapan ejen, pegawai perubatan dan dua ‘runner’ itu ditahan dalam siri serbuan oleh SPRM baru-baru ini.

Julai lepas media melaporkan Ahli Dewan Negara Dr RA Lingeshwaran menggesa Kementerian Sumber Manusia menjelaskan dakwaan beberapa doktor yang mengendalikan tuntutan hilang upaya Perkeso digantung, dikaitkan dengan kartel memalsukan permohonan sedemikian.

Beliau dilapor memaklumkan Dewan Negara bahawa mereka digantung sehingga diberitahu kelak selepas Perkeso mendapat tahu mengenai kegiatan itu di sebuah hospital di Pulau Pinang.

Lingeshwaran yang juga bekas Pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang dilaporkan berkata beliau difahamkan kartel sedang melobi supaya doktor digantung perkhidmatannya itu kembali bertugas di hospital sama.

Beliau turut memberitahu Dewan bahawa terdapat 683 pengeluaran palsu dari 2018 hingga 2022 membabitkan kira-kira RM43 juta dengan 16 darinya melibatkan seorang doktor tertentu yang perkhidmatannya ditamatkan selepas aktivitinya terbongkar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.