Kes dera budak 5 tahun, polis tahan teman lelaki

Kes dera budak 5 tahun, polis tahan teman lelaki

Suspek sebelum itu diburu polis selepas disyaki terlibat bersama ibu mangsa melakukan penderaan terhadap kanak-kanak berkenaan.

handcuff
Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Selangor Mohd Ambia Nordin, suspek yang mempunyai dua rekod berkaitan jenayah narkotik dibawa ke IPD Selangor untuk disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
PETALING JAYA:
Polis telah menahan teman lelaki kepada wanita yang dipercayai terlibat dalam kes penderaan seorang kanak-kanak berusia lima tahun di Kuala Selangor.

Pemangku Ketua Polis Kuala Selangor, Mohd Ambia Nordin, berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan pada 4.30 petang semalam di sebuah rumah di Sik, Kedah.

Katanya, suspek berjaya dikesan selepas polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sik dan Kuala Selangor menerima maklumat awam.

“Suspek yang mempunyai dua rekod berkaitan jenayah narkotik dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya, menurut Sinar Harian.

Media sebelum ini melaporkan lelaki terbabit diburu polis kerana disyaki terlibat bersama-sama ibu mangsa melakukan penderaan terhadap kanak-kanak berusia lima tahun itu.

Wanita berusia 32 tahun itu bagaimanapun telah ditahan dan direman lima hari bermula semalam.

Mangsa mendakwa dia dipukul ibu dan lelaki terbabit dengan mencubit, menumbuk dan menyiram air panas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.