
Setiausaha Agung Abdul Rahman Mohd Nordin berkata laporan menunjukkan kira-kira 10% hingga 13% daripada kes kebankrapan baharu didaftarkan antara 2021 hingga tahun ini membabitkan penjawat awam harus menjadi iktibar dan pengajaran.
Katanya, kenaikan gaji diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak harus menjadi ‘lesen’ untuk penjawat awam boros berbelanja sehingga tidak mampu membayar pembiayaan yang akhirnya menyebabkan pencen mereka disekat sehingga hutang itu dibayar sepenuhnya.
“Nasihat kami jangan hutang benda tak perlu, kalau nak beli rumah okey tapi yang tidak berfaedah tak perlu.
“Kalau nak beli kereta, beli yang mampu sahaja…tak perlu beli kereta mahal sehingga pendapatan isi rumah terganggu,” katanya kepada FMT mengulas laporan kebankrapan membabitkan penjawat awam didedahkan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi M Bakri Abd Majid, semalam.
Mengulas lanjut, Rahman berkata punca utama penjawat awam terjerumus masalah bankrap disebabkan kegagalan membayar balik kredit kad, pinjaman peribadi dan meminjam daripada agensi tidak berdaftar atau ‘along’.
Bagaimanapun, beliau berkata statistik tersebut jauh lebih rendah berbanding sebelum 2018 yang menunjukkan 30% hingga 40% penjawat awam diisytihar muflis ketika itu.
“Sebelum ini jika berhutang tertunggak melebihi RM50,000 boleh dibankrapkan melalui tindakan mahkamah, bagaimanapun selepas kerajaan menaikkan jumlah itu kepada RM100,000 masalah bankrap babit penjawat awam dapat dikurangkan.
“Apabila gaji penjawat awam dinaikkan masalah bankrap juga dapat dikurangkan,” katanya.
Menurutnya, penjawat awam yang terjerumus dalam masalah itu akan dirujuk ke Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk dibantu termasuk penyelarasan hutang jumlah bayaran bulanan.