
Bayaran disampaikan Pengurus Besar Kanan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Mohd Rusdi Ismail kepada Maheran Ali, 48, melalui program Ziarah PTPTN Prihatin di kediamannya di Kuala Nerang, Kedah.
PTPTN berkata Maheran menjadi pendeposit Simpan SSPN Plus dengan membuka akaun untuk tiga anaknya pada 11 Jul 2017 di bawah Pakej Intan dengan komitmen RM30 sebulan iaitu RM20 bagi simpanan manakala caruman takaful RM10.
“Melalui caruman takaful RM30.00 sebulan (bagi 3 akaun), beliau sebagai pendeposit Simpan SSPN Plus telah mendapat manfaat perlindungan takaful (penyakit kritikal) sebanyak RM12,000 bagi setiap akaun dengan jumlah keseluruhan yang diterima sebanyak RM36,000.
“Elaun kemasukan wad RM3,225 yang jumlah keseluruhan manfaat diterima pendeposit sebanyak RM39,225,” katanya dalam kenyataan.
PTPTN berkata produk Simpan SSPN Plus menawarkan enam pakej terdiri daripada simpanan dan perlindungan takaful dengan komitmen serendah RM30 sebulan atau RM1 sehari, bergantung kepada pakej dipilih.
Menurutnya, pakej itu turut menyediakan manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan anak-anak maksimum lima orang anak, manfaat takaful penyakit kritikal, elaun kemasukan hospital dan perlindungan takaful sehingga umur pendeposit 69 tahun.
Jelasnya, pendeposit bagi pakej Intan tidak perlu menjalani pemeriksaan kesihatan manakala mereka yang ingin melanggan pakej Berlian hanya perlu menjawab tiga soalan.
Pakej itu menawarkan tiga pilihan syarikat pengendali takaful iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad dan Takaful Ikhlas Family Berhad.
Pembukaan akaun atau penambahan simpanan boleh dibuat dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat. Layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk maklumat lanjut.