
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata remaja berusia 14 tahun itu dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia pada 2.02 petang.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden pada 4.08 petang oleh seorang lelaki berusia 46 tahun yang juga jurulatih remaja itu.
“Hasil siasatan mendapati semasa separuh masa pertama perlawanan, mangsa telah rebah dengan tiba-tiba dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mempunyai masalah komplikasi jantung dan asma.
“Mangsa memang biasa bermain bola dan ada masalah asma sejak kecil tapi tidak serius. Difahamkan ketika kejadian, ibu bapanya tiada di tempat kejadian,” katanya memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Naazron berkata, polis menasihati semua pihak terutama ibu bapa membuat pemeriksaan kesihatan terhadap anak-anak terlebih dahulu sebelum menyertai kejohanan atau aktiviti sukan bagi mengelak perkara tidak diingini.