
PETALING JAYA: Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya di Johor Bahru diarahkan tutup selepas 21 muridnya mengalami gejala ringan, termasuk loya akibat terdedah pencemaran bau di kampung itu sejak awal pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, berkata pihaknya masih menunggu arahan Kementerian Pendidikan berhubung tempoh penutupan sekolah itu.
“SK Kampung Maju Jaya diarahkan tutup bermula 1 tengah hari ini, tetapi (sehingga bila) masih dalam pertimbangan KPM. Malam ini akan diberi makluman keputusan,” katanya menurut Harian Metro.
Sekolah dua sesi itu mempunyai 1,024 murid, 64 guru dan enam anggota kumpulan pelaksana.
Murid yang mengalami gejala ringan itu terdiri daripada sesi pagi berusia 10 hingga 12 tahun.