
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata kajian perlu dilakukan sebelum membuat sebarang keputusan bagi mengetahui kesan dan impaknya.
“SPRM akan pertimbangkan (cadangan mewujudkan cawangan dan menempatkan pegawai), tetapi kami perlu membuat kajian keberkesanan terlebih dahulu,” katanya menurut Berita Harian.
Rabu lalu, Azam menyenaraikan 11 masalah dan kelemahan utama membabitkan Jabatan Imigresen sehingga membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi “counter setting”.
Beliau berkata, antaranya akibat kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman menyebabkan pegawai imigresen mudah didekati ejen sindiket, pusingan tempat kerja tidak sistematik bagi pegawai imigresen bertugas di KLIA Terminal 1 dan 2, selain ada pegawai imigresen memberi dan menerima rasuah kepada rakan sekerja.
Susulan itu, penganalisis rasuah, Noor Mohamad Shakil Hameed dipetik Berita Harian mencadangkan SPRM mewujudkan cawangan di KLIA bagi menangani sindiket “counter setting” kerana ejen sindiket cukup licik dan sentiasa mencari jalan memujuk pasukan penguat kuasa dengan pelbagai tawaran rasuah lumayan.