
Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata daripada laporan itu satu kertas siasatan dibuka berkait dakwaan sogokan, merujuk program Jelajah Orang Mahkota (JOM) dianjurkan pada 20 dan 21 Sept.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (A) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Siasatan melibatkan kandungan yang telah ditularkan dan dikatakan kandungan itu tidak betul.
“Siasatan sedang berjalan,” katanya pada sidang media selepas meninjau proses undi awal PRK Mahkota di Taman Perumahan Polis, Kluang.
Pada 21 Sept, Pemuda Perikatan Nasional (PN) Kluang membuat laporan polis mendakwa Barisan Nasional (BN) menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menerusi penganjuran JOM.
Menurut laporan itu, karnival dua hari yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi ‘memperkudakan jentera kerajaan’ sebagai kempen dan ‘menyogok pengundi’ dengan menawarkan hadiah bernilai ribuan ringgit termasuk motosikal dan peralatan elektrik.
Minggu pertama kempen kerajaan perpaduan juga dicemari edaran surat layang yang menggesa pengundi Cina tidak undi BN dalam PRK Mahkota supaya memberi pengajaran kepada Umno yang didakwa sombong.
Sementara itu, Kumar berkata polis meluluskan 96 permohonan permit melibatkan ceramah (27), siar raya (42) dan walkabout (27) bermula 14 Sept hingga semalam.
Dalam pada itu, Kumar menggesa anggota polis yang belum menyerahkan undi pos berbuat demikian sebelum 27 Sept, sehari sebelum hari pengundian.
“Ada seramai 18 anggota polis telah daftar untuk undi pos tapi lima lagi masih belum edarkan, jadi saya minta mereka ini serahkan paling lewat 27 Sept 4 petang,” katanya.