Polis Johor panggil penganjur larian ‘songsang’

Polis Johor panggil penganjur larian ‘songsang’

Ketua Polis Johor M Kumar berkata kes disiasat antaranya mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan lucah di tempat awam.

M KUMAR
Ketua Polis Johor M Kumar, berkata program larian itu dianjurkan Persatuan The Hash House Harriers. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hanya segelintir individu dikesan melakukan kesalahan berpakaian secara lucah dan tidak senonoh dalam program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024.

Ketua Polis Johor M Kumar, berkata pihak penganjur juga telah dipanggil bagi membantu siasatan dengan beberapa lagi individu sedang dikenalpasti.

Katanya, program anjuran Persatuan The Hash House Harriers tersebut dijadual bermula 4 hingga 6 Okt melibatkan beberapa kawasan di daerah Kota Tinggi, Kulai, dan Seri Alam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan lucah di tempat awam, selain Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu berkelakuan yang menghina atau lucah dengan niat membangkitkan keadaan tidak aman.

Selain itu, kes juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Polis Johor memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak cuba menggugat ketenteraman awam melalui tindakan yang menyentuh sensitiviti dan kaum,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi gesa polis menyiasat penganjuran acara larian melibatkan pelancong berpakaian songsang di Kota Tinggi seperti tular di media sosial.

Beliau menegaskan acara itu bukan dianjurkan kerajaan negeri mahupun agensi di bawahnya.

Terdahulu, Adun Penawar Fauziah Misri berkata tular gambar peserta tidak senonoh, separuh bogel, dan mempromosi LGBT, yang didakwa berlaku pada Larian Antarabangsa Pan Asia 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.