Jelajah Belia Rukun Negara bermula bulan ini

Jelajah Belia Rukun Negara bermula bulan ini

Program bertemakan 'Menjiwai Rukun Negara' diadakan di enam zon negeri melibatkan 1,200 peserta berumur 18 hingga 30 tahun.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata dengan menghayati Rukun Negara, belia dapat berperanan aktif dalam pembangunan negara dan memupuk semangat patriotisme kukuh.
PETALING JAYA:
Bermula bulan ini, Kementerian Perpaduan Negara menganjurkan Jelajah Belia Rukun Negara dalam usaha meningkatkan literasi dan penghayatan pembudayaan Rukun Negara dalam aktiviti harian.

Program bertemakan “Menjiwai Rukun Negara” digerakkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Pertubuhan Ikram Malaysia itu akan dilaksanakan di enam zon negeri seluruh negara melibatkan 1,200 peserta berumur 18 hingga 30 tahun.

Siri jelajah itu dijangka berakhir awal tahun depan.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata usaha itu susulan keputusan mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) pada 29 Feb lalu yang meluluskan Modul Penghayatan Rukun Negara dibangunkan dan diaplikasikan dalam siri jelajah.

Katanya, tujuan utama inisiatif berkenaan bagi membentuk kemenjadian belia menjiwai Rukun Negara, sekali gus mengiktiraf peserta sebagai duta kecil Rukun Negara.

Selain itu, beliau berkata, jelajah berkenaan dijangka mampu mencambah idea, falsafah dan pemahaman berkaitan agenda penghayatan Rukun Negara sebagai agen penyatuan dalam kalangan belia.

“Pemekaan setiap cita-cita dan prinsip Rukun Negara perlu dipasak dalam jiwa anak muda untuk membentuk belia mempunyai wawasan serta hala tuju jelas sebagai rakyat Malaysia yang menghargai kedamaian dan kepelbagaian adat budaya.

“Dengan menghayati Rukun Negara, belia dapat berperanan aktif dalam pembangunan negara dan memupuk semangat patriotisme kukuh,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Rukun Negara menterjemahkan kemajmukan dan kepelbagaian yang ada dalam Malaysia yang bertunjangkan konsep membudayakan perpaduan, meraikan kepelbagaian.

“Konsep yang berprinsipkan perlunya kefahaman, penghormatan dan penerimaan dalam kalangan rakyat adalah teras kelangsungan kesepaduan sosial dan keharmonian sedia ada dalam negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.