Belanjawan 2025: Cuepacs gesa baik pulih kuarters usang, bina banyak rumah murah

Belanjawan 2025: Cuepacs gesa baik pulih kuarters usang, bina banyak rumah murah

Cuepacs berkata kebanyakan kuarters awam tidak lagi kondusif untuk diduduki dengan majoritinya dalam keadaan daif dan usang.

Cuepacs menggesa kerajaan beri peruntukan khusus untuk baik pulih kuarters penjawat awam yang telah usang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Selain perincian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), isu perumahan atau kuarters kerajaan yang usang diharap turut diberi perhatian oleh Putrajaya dalam Belanjawan 2025.

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata kebanyakan kuarters kerajaan berusia puluhan tahun berkeluasan kecil malah tidak diselenggara baik, menjadikan persekitarannya tidak kondusif.

“Contoh seperti kuarters polis, lif ada tiga tapi berfungsi satu saja… kadang-kala itu pun rosak. Bayangkan mereka yang tinggal di tingkat 15, 16 yang ada anak kecil?,” kata Setiausaha Agung Abdul Rahman Nordin kepada FMT.

“Bila kita buat tinjauan, taman permainan pun terlalu daif dan usang… perkara asas begini sepatutnya kerajaan beri tumpuan.”

Rahman berkata walaupun ada usaha menambah baik kediaman kerajaan, namun kerja-kerja baik pulih dilihat agak perlahan dan tidak menyeluruh.

Justeru, beliau berpandangan sejumlah peruntukan besar perlu diberikan khusus untuk membaik pulih kuarters kerajaan di seluruh negara, selain menubuhkan badan pemantau supaya pelaksanannya tidak menjadi ‘projek gajah putih’.

“Kita nampak ada usaha untuk baik pulih tapi progresnya sangat perlahan,” katanya sambil mendedahkan puluhan ribu penjawat awam masih menunggu giliran mendapatkan perumahan kerajaan.

Beliau turut mencadangkan kerajaan membina lebih banyak rumah mampu milik khusus untuk kakitangan awam bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kekosongan kuarters kerajaan.

“Cuepacs harap kerajaan bina rumah di bawah harga RM200,000 untuk kakitangan kerajaan mampu memiliki rumah pertama.

“Jika harga lebih RM300,000 mana mereka mampu bayar bulanan tinggi kerana majoriti gred rendah,” katanya.

Menurut Rahman, Cuepacs turut meminta kerajaan menimbang meningkatkan jumlah had pengecualian cukai individu daripada RM9,000 kepada RM13,000, susulan kenaikan gaji penjawat awam bermula 1 Dis ini.

“Jika had pengecualian cukai tidak dinaikkan, perbezaan (kenaikan) gaji akan pergi semula kepada kerajaan, dan penjawat awam seolah-olah tak dapat keistimewaan pun,” katanya.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan di Dewan Rakyat pada 18 Okt ini.

Dokumen itu antara lain akan memperincikan SSPA, sistem saraan baharu bertujuan memperkasa 1.6 juta penjawat awam seluruh negara.

Menerusinya, kakitangan awam menerima pelarasan gaji secara berperingkat bermula pada 1 Dis, diikuti fasa kedua pada 1 Jan 2026.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.