
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain, berkata semua suspek ditahan semula hari ini bagi membantu siasatan yang masih berjalan.
“Mereka antara 58 individu terkait dengan GISBH yang telah ditahan di bawah Sosma,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol).
Sementara itu, Shuhaily berkata, Jabatan Peguam Negara sudah memberi kebenaran meneruskan pendakwaan pada masa depan melibatkan empat kertas siasatan.
Dua daripada kertas siasatan membabitkan Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) kerana pemerdagangan manusia; satu di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana serangan seksual, dan satu mengikut Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993 kerana mengoperasikan pusat jagaan tidak berdaftar.
Katanya, polis masih mengumpul maklumat berkait 23 aset milik GISBH di 10 negara melibatkan RM52.4 juta.
“Kami sedang menunggu pengesahan daripada rakan-rakan serantau bagi tindakan lanjut,” katanya.
Renteten beberapa serbuan Op Global dilancarkan bulan lalu, polis menahan 415 individu dan menyelamatkan 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun. Daripada itu, pihak berkuasa syak 13 mangsa diliwat ketika berada di pusat jagaan dikendalikan GISBH.