Jangkitan kuman dalam darah punca banduan mati lepas disebat

Jangkitan kuman dalam darah punca banduan mati lepas disebat

Banduan itu mengadu tidak sihat sembilan hari setelah hukuman dijalankan, menurut Jabatan Penjara Malaysia.

penjara
Jabatan Penjara juga memulakan siasatan dalaman bagi menyemak semula pelaksanaan hukuman mengikuti SOP ditetapkan.
PETALING JAYA:
Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan kematian seorang banduan selepas menjalani hukuman sebatan di Penjara Pokok Sena, Kedah, Isnin lepas disebabkan jangkitan kuman dalam darah.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini menjelaskan banduan berkenaan mengadu tidak sihat pada Jumaat, 4 Okt lalu, sembilan hari setelah hukuman sebat dijalankan pada 25 Sept lepas.

“Susulan aduan sakit oleh banduan, pihak penjara terus melakukan pemeriksaan lanjut melalui rawatan rapi oleh pegawai perubatan.

“Banduan telah dibawa Hospital Sultanah Bahiyah pada 7 Okt untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia dan laporan bedah siasat awal punca kematian ialah jangkitan kuman dalam darah,” menurut laporan Bernama.

Jabatan Penjara memaklumkan hukuman yang dilaksanakan pada 25 Sept lepas itu mengikut prosedur operasi standard (SOP), dan banduan juga disahkan sihat dan cergas selepas pemeriksaan ketat oleh Pegawai Perubatan Penjara.

“Selepas menjalani hukuman, banduan tersebut juga telah dirawat dengan rapi termasuk rawatan luka (dressing) setiap hari dan dipantau kesihatan dari semasa ke semasa oleh pegawai perubatan penjara,” katanya.

Menurut Jabatan Penjara, pihaknya juga telah memulakan siasatan dalaman bagi menyemak semula pelaksanaan hukuman adalah mengikuti SOP yang telah ditetapkan.

“Sehingga kini tiada pelanggaran SOP dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Sekiranya didapati terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur semasa melaksanakan tugas, Jabatan Penjara tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Jabatan Penjara turut mengingatkan orang awam agar tidak menyebar luas berita yang tidak sahih berkaitan kejadian kes tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.