Tak berbangkit dakwaan langgar ‘petua’ Muhyiddin, kata Rafiq

Tak berbangkit dakwaan langgar ‘petua’ Muhyiddin, kata Rafiq

Rafiq Abdullah menjelaskan, tiada arahan daripada presiden Bersatu agar tiada pertandingan bagi jawatan naib presiden pada pemilihan parti bulan depan.

Rafiq Abdullah yang menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden tidak termasuk dalam senarai tiga pemimpin dicadangkan menduduki kerusi itu menerusi pelan kompromi Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. (Gambar Bersatu)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah menafikan wujud ‘petua’ oleh Presiden Muhyiddin Yassin supaya tiada pertandingan bagi jawatan naib presiden pada pemilihan parti bulan depan.

Rafiq yang juga salah seorang daripada enam calon bagi jawatan itu mendakwa, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebelum ini hanya membincangkan kedudukan Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dan Azmin Ali.

Perkara itu dibincangkan kerana mereka ‘sayang’ dengan tiga pemimpin terbabit yang banyak memberi sumbangan kepada parti, katanya.

“Apabila Peja (Faizal) diminta ‘turun pangkat’ kepada naib presiden, timbul persoalan macam mana kalau berlaku pertandingan beliau kalah,” katanya kepada FMT.

“Jadi ketika konvensyen Bersatu di Selayang Julai lalu, presiden nyatakan beliau pertahankan Peja dan tiada masalah bekerja dengan Ronald Kiandee dan Radzi Jidin sebagai naib presiden … tiada disebut jangan ada pertandingan.”

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mempersoalkan tindakan beberapa ahli MPT yang didakwa tidak menuruti petua Muhyiddin berhubung pemilihan parti.

Menurutnya, tindakan pemimpin terbabit merebut jawatan naib presiden dilihat melanggar keputusan disepakati mereka yang turut menghadiri mesyuarat MPT.

Wan Ahmad Fayhsal yang enggan menamakan pemimpin terbabit berkata, mereka sedia maklum semua pihak bersetuju memberi mandat kepada Muhyiddin yang mencadangkan lima jawatan tertinggi, iaitu presiden, timbalan dan tiga naib, tidak dipertandingkan.

Pada Julai, Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau diberi mandat oleh MPT untuk berunding dengan barisan kepimpinan bagi memastikan pemilihan parti tidak menimbulkan perpecahan.

Menerusi pelan kompromi, Muhyiddin kekal menerajui Bersatu, dibantu Hamzah sebagai timbalan, manakala Kiandee dan Radzi selain Faizal dicadangkan mengisi tiga kerusi naib presiden.

Selepas pencalonan dimuktamadkan minggu lepas, Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding, manakala enam calon merebut tiga kerusi naib presiden, iaitu Kiandee, Radzi, Ahmad Faizal, Rafiq, Ketua Penerangan Razali Idris dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin.

Enggan tarik diri

Rafiq yang juga Adun Kuang menegaskan, beliau tidak akan menarik diri menurut gesaan Wan Ahmad Fayhsal terhadap pemimpin MPT yang tidak termasuk dalam senarai pelan kompromi dicadangkan parti.

“Kita serah kepada perwakilan pilih yang terbaik, hormati pilihan dan kembali bekerja sebagai satu pasukan selepas pemilihan,” katanya.

“Saya nak tegaskan, apabila ada pertembungan, tidak bermakna berlaku perpecahan dalam parti, kita tak kempen burukkan sesiapa dan bertanding seperti keluarga.”

Beliau turut menyifatkan dakwaan Muhyiddin sedih kerana petuanya tidak diikuti hanya pandangan peribadi Wan Ahmad Fayhsal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.