Hidupkan semula program tebus baucar buku, bantu semarak budaya membaca

Hidupkan semula program tebus baucar buku, bantu semarak budaya membaca

Perkara itu terkandung dalam Pelan Tindakan Pemerkasaan Industri Buku Negara dirangka menerusi Kajian Data Perbukuan Negara.

aaron ago dagang
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata 10 perkara disentuh dalam Pelan Tindakan Pemerkasaan Industri Buku Negara.
PETALING JAYA:
Menghidupkan kembali Program Penebusan Baucar Buku Semarak Membaca di kalangan murid sekolah antara perkara terkandung dalam Pelan Tindakan Pemerkasaan Industri Buku Negara.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata pelan itu dihasilkan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) susulan Kajian Data Perbukuan Negara pertama yang telah selesai dilaksanakan.

Menurutnya, 10 perkara telah disentuh menerusi pelan terbabit yang dirangka bagi memupuk minat membaca di kalangan masyarakat selain dijadikan panduan menyediakan bahan bacaan diminati ramai.

“Satu daripadanya termasuk Menghidupkan kembali Program Penebusan Baucar Buku Semarak Membaca di kalangan murid sekolah bagi merancakkan minat serta budaya membaca rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Aaron berkata turut disentuh memperluaskan pelaksanaan kempen membaca di setiap kementerian dan agensi, tambah baik insentif kepada penulis buku dan meneruskan Program Dana Penulis, serta mempergiatkan penganjuran pesta buku kebangsaan dan antarabangsa.

“Meningkatkan percetakan buku braille, perluas usaha terjemah buku bahasa Melayu ke bahasa lain, perkenal program Duta Buku dan meneruskan inisiatif Ikon Membaca Kebangsaan dan lantik wakil Buku Negara bertaraf Senator di Parlimen.

“Memperluaskan aktiviti pendigitalan koleksi buku dan penguatkuasaan undang-undang kepada pelanggaran Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986,” katanya.

Mengulas lanjut, Aaron berkata ketika ini ada 944 syarikat penerbitan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), manakala 57 persatuan berkaitan penerbitan didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Menurutnya, aktiviti penerbitan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 adalah sebanyak RM4.9 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.