
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi berkata Hakim tidak memberikan sudut jelas berhubung dakwaannya itu, selain tidak menyenaraikan ‘kejayaan’ PAS sehingga dirinya mendaftarkan sebagai ahli parti berkenaan.
Menurutnya, Umno tidak lemah malah telah berjaya membantu rakyat dalam program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan pembangunan sekolah tahfiz diusahakan secara aktif oleh Zahid.
“Langkah Hakim menyertai PAS tidak memberi kesan kepada Umno kerana sumbangan menteri dari parti itu lebih menonjol di bawah kerajaan perpaduan.
“Justeru Umno tidak berkudis sedikit pun dengan tindakan Hakim menyertai PAS,” katanya kepada FMT.
“Lagipun ramai tidak mengenalinya seperti ahli kenal Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Nurulhidayah Zahid (anak dan menantu pemimpin Umno).”
Beliau mengulas kenyataan Hakim yang Umno di bawah kepimpinan Zahid semakin lemah kerana gagal mempertahankan hak Melayu dan Islam, yang menjadi alasan untuk memohon menyertai PAS.
Hakim turut mendakwa keputusan meninggalkan Umno kerana ingin kembali kepada perjuangan keluarga yang mana bapanya Hamidi Abdul Fatah sebelum ini seorang aktivis PAS.
Menurutnya, namun bapanya menyertai Umno mengikut jejak langkah Zahid kerana yakin Umno sebagai parti Melayu komited menjaga Islam.
Semalam, Hakim menyerahkan borang permohonan menyertai PAS kepada Presiden Hadi Awang.
Seorang lagi MKT Shaik Hussein Mydin pula berkata Umno memilih ramai pemimpin berkaliber untuk meneruskan perjuangan pada masa depan
Menurut Shaik, PAS pula semakin ketandusan pemimpin berwibawa di peringkat negeri dan negara selain berkata, ramai pemimpin penting dalam PAS dan Perikatan Nasional (PN) adalah bekas pemimpin Umno, termasuk Shahidan Kassim dan Hamzah Zainudin.
“PAS kini ketandusan pemimpin di peringkat negara dan negeri. Cuba namakan seorang pemimpin PAS yang berkaliber, sama ada di peringkat negeri atau negara?,” katanya mengulas tindakan adik Zahid keluar Umno.
Tambah Shaik, pemimpin Umno terlatih dan sentiasa mengalu-alukan lebih ramai pemimpin muda untuk menyertai parti itu.
“Semua parti dalam PN hanya mahu bekas pemimpin Umno yang sudah dilatih sebagai pemimpin mereka untuk kekal relevan,” ujarnya.