Sabah setuju selaras gaji penjawat awam ikut SSPA

Sabah setuju selaras gaji penjawat awam ikut SSPA

Pelarasan gaji akan dibuat dalam dua fasa, bermula 1 Dis nanti dan 1 Jan tahun depan, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Kerajaan Sabah juga bersetuju menyelaraskan kadar gaji pekerja sambilan harian negeri kepada minimum RM1,725 sebulan, kata Hajiji Noor. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Sabah hari ini bersetuju membuat penyelarasan gaji dalam dua fasa selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi 21,228 penjawat awamnya, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau berkata, pelarasan gaji itu akan dilaksanakan pada 1 Dis ini untuk Fasa Pertama dan 1 Jan 2026 bagi Fasa Kedua, melibatkan peruntukan keseluruhan RM103.02 juta.

“Kerajaan negeri juga bersetuju menyelaraskan kadar gaji pekerja sambilan harian negeri kepada minimum RM1,725 sebulan, serta penambahbaikan faedah sedia ada bermula 1 Dis ini,” katanya.

Hajiji berkata, pelarasan gaji untuk 2,116 pekerja sambilan harian itu akan melibatkan kos sebanyak RM46.09 juta.

“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi penyelarasan gaji perkhidmatan awam negeri dan pekerja sambilan harian ialah RM149.11 juta,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penyelarasan gaji itu ialah manifestasi pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sumbangan penjawat awam negeri dan pekerja sambilan harian kepada agenda pembangunan negeri.

“Ia juga membantu meringankan kos sara hidup harian yang semakin meningkat,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pada 16 Ogos lepas bahawa SSPA akan menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.