Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin ringan beban 132 pelajar UMK

Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin ringan beban 132 pelajar UMK

Setiap pelajar layak menerima RM500 yang akan disalurkan ke akaun bank mereka.

Penerima Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin bersama Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim (tengah) dan Naib Canselor UMK Razli Che Razak. (Gambar PTPTN)
PETALING JAYA:
Seramai 132 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang kurang berkemampuan menerima manfaat daripada Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin, dengan jumlah keseluruhan RM66,000.

Menerusi program diwujudkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada 2022 itu, setiap pelajar layak menerima bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM500, yang akan disalurkan ke akaun bank mereka.

Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim berkata, perbadanan itu mengadakan pelbagai program berimpak tinggi bagi membolehkan masyarakat terus mendapat bantuan sewajarnya, dalam usaha meningkatkan akses masyarakat kepada pendidikan tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Saya berharap bantuan ini akan memberi sinar kepada para pelajar untuk terus mencipta kejayaan hebat dalam akademik dan sahsiah, menjadi pendorong untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai keputusan yang cemerlang serta menjadi kebanggaan ibu dan ayah.

“Ini sekali gus akan membantu para pelajar untuk mendapat pekerjaan yang baik serta dapat mengubah nasib keluarga setelah tamat pengajian bagi menikmati kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Norliza turut memaklumkan pada 15 Julai lalu PTPTN menyalurkan bantuan kepada 85 pelajar yang layak di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM42,500.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.