
Presiden Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, majikan harus bertanggungjawab sepenuhnya untuk mematuhi kadar gaji minimum baharu tanpa cuba mengelak, atau mengeksploitasi pekerja.
“Kenaikan ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan pekerja di seluruh negara, terutama kumpulan berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan gaji minimum baharu, iaitu RM1,700 berbanding RM1,500 pada masa ini, ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Anwar berkata, kerajaan memberi penangguhan enam bulan kepada majikan yang mempunyai kurang lima pekerja, dengan pelaksanaan bermula 1 Ogos.
Sehubungan itu, MTUC mencadangkan bantuan insentif, latihan dan pembiayaan diberikan kepada kelompok berkenaan bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan peningkatan kos operasi akibat kenaikan gaji.
Selain itu, MTUC juga menggesa majikan yang mampu agar menawarkan gaji lebih tinggi berbanding kadar gaji minimum yang ditetapkan.
“Kami mengalu-alukan tindakan majikan yang sedia memberikan gaji lebih tinggi sebagai satu langkah proaktif dalam menghargai sumbangan pekerja serta membantu mereka menghadapi kos sara hidup semakin meningkat.
“Langkah ini bukan sahaja menunjukkan tanggungjawab sosial majikan tetapi juga mampu meningkatkan produktiviti dan motivasi pekerja,” katanya.
Katanya, kenaikan gaji minimum bukan sahaja akan meningkatkan taraf hidup pekerja tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan kuasa beli rakyat.
Sementara itu, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) memuji penangguhan pelaksanaan gaji minimum, yang menurutnya ‘munasabah’, bagi syarikat dengan kurang lima orang pekerja, yang lazimnya terdiri daripada perusahaan mikro.
“MEF berterima kasih kepada Anwar dan kerajaan yang memahami dan mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam menentukan gaji minimum baharu,” kata presidennya, Syed Hussain Syed Husman.
MEF turut menzahirkan penghargaan atas usaha Majlis Perundingan Gaji Negara membincangkan isu gaji minimum sebelum mengemukakan cadangan kepada kerajaan.
Katanya, sebarang keputusan mengkaji semula gaji minimum mesti mengambil kira PMKS, yang mengalami cabaran terbesar untuk melaksanakannya.