PKR akan terus pimpin PH, kerajaan, kata Fuziah

PKR akan terus pimpin PH, kerajaan, kata Fuziah

Setiausaha agung parti yang baharu itu berkata PKR akan kekal mengemudi gabungan biarpun prestasinya merosot dalam pilihan raya.

fuziah salleh
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata PKR mesti bercakap dalam satu suara untuk menonjolkan kekuatan sebenar parti itu.
PUTRAJAYA:
PKR berazam mengatasi kemerosotannya dan terus memimpin Pakatan Harapan (PH) serta kerajaan pada masa depan, kata Setiausaha Agungnya Fuziah Salleh.

Dalam temu bual dengan FMT, Fuziah yang mula memegang jawatan itu pada 15 Sept lalu mengakui parti terbabit tidak menunjukkan prestasi baik dalam beberapa PRK sejak Presidennya Anwar Ibrahim menerajui kerajaan perpaduan selepas PRU15.

Bagaimanapun, beliau berkata parti itu telah mengenal pasti pelbagai isu timbul dan sedang dalam usaha menanganinya.

Fuziah berkata antara isu terbabit ialah persepsi bahawa parti itu tidak bersatu.

Beliau berkata perpaduan parti adalah kunci mengekalkan kepercayaan pengundi.

“Kami sangat pelbagai (dari segi pendapat) dan kepelbagaian ini membayangi barisan bersatu yang ingin kami pamerkan.

“Bercakap dengan (satu) suara adalah penting dan saya fikir kita telah kehilangan ciri itu dari semasa ke semasa. Kita perlu mengembalikannya semula.”

Beliau berkata kesepaduan dalam bersuara akan menonjolkan kekuatan sebenar parti.

PKR memenangi 31 kerusi pada PRU15 yang menyaksikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menjemput Anwar untuk membentuk kerajaan perpaduan yang diterajuinya hingga kini.

Sejak itu, prestasi PKR merosot pada pilihan raya apabila hanya menang 24 daripada 59 kerusi ditandingi parti itu pada PRN di enam negeri tahun lalu.

Parti itu juga kalah dalam tiga PRK – di Padang Serai (Kedah), Kuala Terengganu (Terengganu), dan Sungai Bakap (Pulau Pinang).

Fuziah berkata kekalahan itu memberi peringatan kepada parti.

Beliau juga mengakui bahawa DAP menunjukkan prestasi yang lebih baik pada PRU 15, memperoleh 40 daripada 55 kerusi yang ditandinginya.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak timbul kebimbangan bahawa rakan gabungan lama PKR itu akan berusaha untuk merampas kuasa PH daripada parti berkenaan.

“PKR akan terus menerajui PH dan kekal mengemudi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.