
Satu hantaran di platform media sosial X oleh kedutaan Iran memaparkan gambar yang dikatakan kapal tersebut beserta kapsyen: “Kami sudah tegaskan bahawa Republik Islam Iran tidak lupakan sahabatnya. Kapal Malaysia yang pertama telah melalui Selat Hormuz.”
Walaupun identiti kapal tersebut tidak didedahkan, Reuters melaporkan semalam, sebuah kapal tangki minyak sewaan firma Petronas, yang membawa minyak mentah Iraq, telah merentasi selat tersebut berhampiran perairan Iran menuju ke Pengerang, Johor.
Data dari LSEG dan Kpler memaparkan bahawa kapal tangki Ocean Thunder tersebut memuatkan sekitar satu juta tong minyak mentah Basrah Heavy pada 2 Mac lepas, dan dijangka menurunkan muatannya pada pertengahan April.
Kapal itu dipercayai antara beberapa buah kapal berkaitan Malaysia yang mendapat kebenaran Iran untuk melepasi selat tersebut selepas ketegangan awal yang menyebabkan laluan itu seakan-akan ditutup ekoran serangan udara Amerika Syarikat dan Israel pada penghujung Februari.
Pelayaran tersebut dilakukan sehari selepas Iran mengumumkan bahawa Iraq dikecualikan daripada sebarang sekatan laluan merentasi laluan maritim kritikal itu, yang menyumbang kepada hampir satu perlima daripada pergerakan minyak dan LNG dunia.
Bulan lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Iran akan membenarkan kapal-kapal Malaysia melepasi selat itu, hasil perbincangan bersama para pegawai Iran.
Menteri Luar Mohamad Hassan kemudiannya memaklumkan, terdapat tujuh buah kapal yang mempunyai kaitan dengan syarikat-syarikat Malaysia, termasuk Petronas, Vantris Energy Bhd dan MISC Bhd, sedang menanti giliran untuk melalui laluan air berkenaan.