Wanita didakwa miliki 38 penerbitan Al-Arqam

Wanita didakwa miliki 38 penerbitan Al-Arqam

Aishah Bula Tajudin didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Brickfields pada 21 Sept lalu.

Aishah Bula Tajudin (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan memiliki 38 hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam bulan lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang wanita warga emas yang juga ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memiliki 38 hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam, bulan lalu.

Aishah Bula Tajudin, 60, didakwa memiliki hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam antaranya ‘Darul Arqam 25 Tahun Perjuangan Abuya Syeikh Imarn Ashaari Muhammad At-Tamimi’, ‘Khutbah Aidilfitri 1413 Hijrah’, ‘Siri Terkini Era kasih Sayang Abuya Pemimpin Kasih Sayang’, dan ‘Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya’, tanpa sebab yang munasabah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sungai Penchala, Brickfields pada 11.30 pagi, 21 Sept lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman mencadangkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin.

Beliau berkata terdapat 38 penerbitan dilarang sebagaimana diwartakan kerajaan dan pengharaman memiliki penerbitan tersebut telah diwar-warkan oleh media massa, akhbar dan televisyen.

“Selama tiga dekad pengharaman tersebut, namun masih ada individu sembunyi dan memiliki item berkenaan,” katanya.

Peguam Boestamam Ahmad yang mewakili Aishah memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan suaminya mengalami strok.

Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan wanita berkenaan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Farah Nabihah menetapkan 4 Dis untuk sebutan kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, usahawan Ekhwan Catering yang disyaki ahli GISBH, Mohammad Nazif Jamluddin, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dua hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam iaitu Perang Teluk Islam Akan Kembali Gemilang dan Meruntuh Berhala di Tiongkok.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ekhwan Catering, Kampung Sungai Penchala di Brickfields pada 10.30 pagi, 21 Sept lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.

Sabri mencadangkan jaminan RM15,000 dengan dua orang penjamin manakala Boestamam yang turut mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

Majistret M S Mageswary membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.