PTPTN meriahkan Hari Tabungan Sedunia, galak simpanan pendidikan

PTPTN meriahkan Hari Tabungan Sedunia, galak simpanan pendidikan

Bulan Menabung Simpan SSPN 2024 bermula 26 Sept hingga 31 Okt bertujuan menyebarluas manfaat Simpan SSPN bagi memperkasakan amalan menabung.

Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim (dua dari kiri) merasmikan majlis penutupan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) berlangsung dari 26 Sept hingga 31 Okt. (Gambar PTPTN)
PETALING JAYA:
Sejak 100 tahun lalu, Hari Tabungan Sedunia disambut setiap 31 Oktober untuk mendorong setiap insan meneruskan amalan menabung yang membawa banyak manfaat pada masa depan.

Antara manfaat menabung termasuk membantu menampung kos pembelajaran seseorang ke menara gading sebagai ‘tiket’ memperbaiki kehidupan lebih baik dalam alam pekerjaan atau mengusahakan perniagaan sendiri.

Banyak kelebihan boleh diperoleh menerusi tabiat menabung seperti memupuk disiplin kewangan dengan mengawal keinginan membeli secara impulsif dan mengutamakan keperluan berbanding kehendak.

Menurut tinjauan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2021, hanya 28% daripada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia mempunyai simpanan mencukupi bagi menampung perbelanjaan selama tiga bulan.

Amalan menabung juga dapat menguruskan perbelanjaan dengan memperkenalkan kaedah seperti belanjawan 50/30/20 atau menggunakan aplikasi untuk memantau.

Tabungan juga menjadi penyelamat untuk dana kecemasan seperti kemalangan, rawatan atau kerosakan peralatan pembelajaran seperti komputer riba.

Paling penting hasil tabungan dan simpanan juga dapat mengembangkan potensi diri seseorang menerusi pendidikan dan mendidik perancangan kewangan jangka panjang.

Dalam konteks itu, ibu bapa perlu memainkan peranan membuat perancangan dan mencari instrumen simpanan yang menawarkan pelbagai manfaat dan kelebihan.

Sempena Hari Tabungan Sedunia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti tahun sebelumnya sejak 2018 melancarkan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 di lokasi terpilih seluruh negara mulai 26 September hingga 31 Oktober.

Mengekalkan tagline ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’, inisiatif itu mengajak ibu bapa menjadi ‘wira’ menyedia dan merancang masa depan anak-anak bagi mendapatkan pendidikan sempurna.

Agensi itu memaklumkan sambutan itu sebagai usaha menyebarluas manfaat Simpan SSPN sempena Hari Tabungan Sedunia, selaras misinya memperkasakan amalan menabung bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman.

Paling penting usaha itu bagi memastikan anak-anak tidak dibebani hutang apabila tamat pengajian.

Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen kompetitif, simpanan dijamin Kerajaan dan patuh syariah.

Sehingga 31 Julai lalu, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM18.7 bilion dengan bilangan akaun 6.5 juta.

Pembukaan akaun atau penambahan simpanan boleh dibuat dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

Jom Jadi Superhero Anak Anda! dengan menyimpan di Simpan SSPN

Selamat Hari Tabungan Sedunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.